Friday, July 8, 2011

PERUTUSAN DARI KETUA DEWAN ULAMAK (PAS)


SALAM PERJUANGAN...

8hb Julai 2011 - Saya selaku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat mewakili golongan para ulama PAS menyeru kepada seluruh ahli PAS dan mereka yang menyokong BERSIH agar menjaga akhlak dan keperibadian mereka sesuai dengan tuntutan Islam yang sentiasa menganjurkan keperibadian yang mulia tanpa mengira sama ada mereka adalah kawan ataupun lawan.

Perlu diingati bahawa sesiapa pun yang mengelilingi kita , mereka adalah sebenarnya mad’u kita. Para ahli dan penyokong PAS jangan sekali-kali mengganggu ketenteraman awam apatah lagi merosakkan harta benda awam.

Ianya ditegah di dalam Islam sekalipun di dalam peperangan. Namun begitu kita tetap percaya bahawa ahli PAS tidak akan bertindak sedemikian rupa sama sekali. Sekiranya perkara sebaliknya berlaku , maka kita percaya ianya bukan daripada amalan ahli kita yang telah sekian lama dididik dan ditarbiah agar berakhlak mulia oleh pemimpin-pemimpin dan murabbi kita sejak penubuhannya lagi.

Apa sahaja bentuk provokosi oleh pihak lawan usah dilayani, anggaplah mereka golongan yang masih belum menerima mesej perjuangan kita.
Bersabarlah kerana ganjarannya adalah sangat besar di sisi Allah s.w.t. Itulah perjuangan para anbia’, sahabat dan ulamak sebelum daripada kita. Dewan Ulamak Pas Pusat juga turut mengharapkan agar pihak kerajaan khususnya pihak keselamatan memberikan kerjasama yang sewajarnya lagi adil untuk menjayakan hasrat yang mulia ini.

Kepada kakitangan keselamatan ! sekiranya anda berniat ikhlas untuk melancarkan lagi tuntutan dan hasrat mulia ini maka ketahuilah InsyaAllah anda akan berkongsi pahala bersama-sama dengan kami dalam menjayakan tuntutan ini.

Ganjaran pahala pasti akan menunggu anda di hari akhirat nanti. Siiru ‘ala barokatillah ( Teruskan perjalanan perjuangan anda dengan keberkatan Allah)

Desakan Dari Parti Islam Semalaysia (PAS)



Salam Perjuangan...

Parti Islam SeMalaysia (PAS) mendesak kerajaan pimpinan UMNO-BN yang ada pada waktu ini agar tidak berselindung di sebalik pihak keselamatan untuk mengekalkan kuasa politik mereka, kononnya mereka sahajalah yang bertindak di atas matlamat menjaga keharmonian dalam negara kita ini.

Provokasi demi provokasi yang ditimbulkan saban hari di media cetak arus perdana dan televisyen, untuk memberi gambaran bahawa perhimpunan aman Bersih 2.0 akan bertindak ganas dan sebagainya.

Kami ingin memperingatkan mereka bahawa strategi kuno sebegini sudah lapuk dan tidak akan berjaya memenjarakan fikiran rakyat yang sudah merdeka pada zaman ini.

Tangkapan demi tangkapan yang terus menerus dilakukan ke atas penyokong himpunan Bersih yang memakai baju berwarna kuning menunjukkan kegelabahan Barisan Nasional yang tidak bijaksana dan semakin tidak waras dalam menangani isu. Mereka semakin gelabah dengan kerosakan yang mereka lakukan terhadap negara, sehingga takut kepada bayang-bayang sendiri.

Dengan ini PAS mendesak pihak yang berkenaan supaya membebaskan rakyat yang sudah menjadi mangsa ditahan akibat dari tindakan rakus kerajaan pimpinan BN ini. Himpunan yang dibuat untuk mendesak dibersihkan pilihanraya yang kotor, disangka ianya himpunan untuk menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi.

Perlulah diingat, sememangnya sudah sekian lama kami berusaha untuk menumbangkan Barisan Nasional yang melakukan kerosakan dalam negara, bukan lagi suatu yang rahsia. Tetapi Barisan Nasional berlagak seperti negara ini milik peribadi mereka, merasa kebal dan tidak sedia untuk kalah sehingga memperalatkan berbagai agensi kerajaan untuk kepentingan mereka.

Kerajaan Barisan Nasional sangat mundur amalan demokrasinya, berjiwa kecil, jauh mundur berbanding negara-negara maju yang membuka pintu demokrasi seadil-adilnya.

Di Australia, seorang Perdana Menteri yang kalah dalam pemilihan partinya, sedia duduk dibawah Perdana Menteri yang baru dengan menjawat jawatan Menteri Luar sahaja. Ini kerana mereka meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bukannya jawatan untuk kepentingan dunia dan peribadi. Sebaliknya Barisan Nasional merasakan kerajaan ini milik mereka selama-lamanya, sehingga tidak sedia untuk kalah dan diganti dengan kerajaan yang baru.

Kita nak ingatkan Barisan Nasional, sebelum terlambat, sedia berundur secara terhormat, sebelum jatuh dalam kehinaan. Bebaskan SPR dan jabatan-jabatan kerajaan daripada diseleweng oleh mereka. Pulangkan hak memilih seadilnya kepada rakyat, dan PAS untuk menyokong sebarang usaha memulihkan demokrasi dan menggunakan pilihanraya untuk mendapatkan kuasa pemerintahan.